Panduan Untuk Menjawab Soalan Lisan Bergambar
Peringatan : Setiap gambar perlu diceritakan secara tuntas. Kemudian, dikembangkan ceritanya dengan menggunakan idea-idea yang menarik.
Langkah-langkah ketika membaca teks. (Bahagian A)
Perkara-perkara penting yang perlu diingat:
a) Baca dengan kuat.
b) Baca dengan rentak/intonasi yang sesuai.
c) Berhenti pada jeda yang sesuai.
d) Gunakan bahasa baku dengan sebutan yang jelas.
Langkah-langkah untuk menerangkan tentang gambar. (Bahagian B)
Peringatan : Setiap gambar perlu diceritakan secara tuntas. Kemudian, dikembangkan ceritanya dengan menggunakan idea-idea yang menarik.
* Terangkan keseluruhan tempat dalam gambar tersebut.
Contoh: Gambar ini menunjukkan situasi di dalam sebuah sekolah pada waktu rehat. Di sini ada ramai murid.
* Mulakan cerita dengan kata arah yang betul.
Contoh: Di bahagian kiri atas gambar ini, ada seorang murid yang membongkokkan badannya sementara kawannya memanjat di atas badannya. Tujuannya ialah untuk menjolok sarang burung di atas pokok.
Contoh: Tidak jauh dari situ, ada seorang guru yang berlari ke arah mereka sambil meniup wisel. Dia kelihatan marah. Dia cuba melarang murid-murid itu daripada berbuat demikian.
Sebutkan perbuatan positif dan negatif yang terdapat di dalam gambar.
Contoh: Di bahagian kanan gambar ini, ada seorang murid perempuan yang sedang berdiri sambil makan semangkuk mi. Perbuatannya salah kerana dia makan di luar kawasan kantin. Dia boleh menyebabkan tempat itu menjadi kotor jika dia terjatuhkan makanannya. Dia sepatutnya makan di dalam kantin.
Contoh: Di belakangnya ada seorang pengawas. Pengawas itu cuba memberitahunya supaya makan di kantin. Perbuatan pengawas itu baik kerana dia menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab. Jika dia tidak memberitahu murid perempuan itu tentang kesalahannya, mungkin murid perempuan itu tidak sedar dia telah melakukan kesalahan.
Menggunakan kata adjektif bagi menggambarkan sikap watak
Contoh: Di bahagian kiri bawah gambar ini, ada dua orang murid yang sedang bermain kejar-kejaran. Mereka kelihatan seronok bermain.
Contoh: Di bahagian kanan atas gambar ini, ada tiga orang murid yang bermain tali skip / tali lompat. Murid yang berada di hadapan terjatuh. Dia kelihatan sedang dalam kesakitan. Dua orang kawannya yang berada di belakangnya kelihatan terperanjat dan bimbang akan rakan mereka yang terjatuh itu.
Berikan pendapat semasa menutup cerita
Contoh: Jika saya berada di tempat ini, saya akan segera memberitahu guru tentang murid yang terjatuhnya itu supaya dia diberi rawatan. Itu sahaja yang dapat saya ceritakan.
Langkah-langkah untuk menerangkan tentang gambar. (Bahagian C)
Peringatan: Dalam bahagian ini, murid perlu berfikir dengan pantas kerana soalan yang diajukan bersifat spontan. Pastikan murid faham akan soalan yang ditanyakan. Jika tidak faham, minta guru ulangi soalan.
Contoh soalan:
Cuba ceritakan pengalaman kamu semasa kehilangan barang yang berharga yang pernah kamu miliki.
Contoh jawapan: (Ingat langkah-langkah berikut)
Bila berlaku?
Saya pernah kehilangan barang berharga yang pernah saya miliki. Barang yang berharga itu adalah sebuah telefon bimbit. Peristiwa ini berlaku setahun yang lalu.
Di mana berlaku?
Ketika itu saya sedang berada di dalam bas bersama beberapa orang rakan dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Apa yang berlaku?
Telefon bimbit itu adalah hadiah hari lahir saya yang ke-sebelas tahun. Pakcik saya yang menghadiahkannya kepada saya. Seminggu selepas itu, saya sering membawa telefon bimbit itu ke sekolah walaupun telah dilarang oleh ibu bapa saya. Saya menunjuk-nunjukkan telefon bimbit kepada rakan-rakan saya di sekolah. Semua orang memuji telefon bimbit saya yang canggih itu. Harganya $900.
Semasa pulang dari sekolah, saya dan beberapa orang kawan menaiki bas untuk pulang ke rumah. Saya tidak menyimpan telefon bimbit itu di dalam beg. Malah, saya memegangnya sahaja kerana terlalu ghairah dengannya. Semasa kami hendak turun dari bas, saya terjatuhkan kad tambang saya. Saya pun meletakkan telefon bimbit saya di tempat duduk untuk mengambil kad tambang saya yang terjatuh. Selepas itu, saya pun turun dari bas. Semasa dalam perjalanan pulang saya baru teringat tentang telefon bimbit saya itu. Malangnya, bas itu sudah lama pergi. Saya pulang dalam keadaan sedih. Ibu bapa saya memarahi saya kerana tidak mendengar nasihat mereka.
Apa pengajaran yang kamu peroleh daripada peristiwa ini?
Saya sangat menyesal. Saya sedar bahawa saya sepatutnya mengikut nasihat ibu bapa saya. Saya juga harus membuang sikap buruk saya yang suka menunjuk-nunjuk itu.